Rezeki, Allah yang pegang.Minta dengan Dia dulu..
Ramai diantara kita
mungkin pernah mengalami masalah kewangan atau kesuntukan duit dalam
hidup. Selain dari usaha yang bersungguh, ada beberapa amalan yang boleh
dilakukan untuk memudahkan kita dikurniakan rezeki.
Artikel ini bukan
bertujuan untuk mengajar pembaca tentang bagaimana mendapat rezeki,
tetapi sekadar perkongsian pengalaman lalu penulis yang mungkin boleh
sama-sama memberi panduan manfaat.
Yang penting, kita kena yakin dengan rezeki Allah..
1. Menarik Rezeki Dengan Bersedekah
Ramai yang tidak tahu bahawa amalan
bersedekah mampu untuk membawa rezeki yang melimpah-ruah kepada si
pemberi rezeki. Amalan yang digalakkan oleh Islam ini bukanlah bermaksud
sama sekali mengurangkan wang kita, malah menambah rezeki dan kekayaan
kita.
Bersedekahlah tanpa perlu mengharapkan sebarang balasan.
Pernahkah kita didatangi oleh seorang
peminta sedekah yang mengharapkan sedikit wang untuk membeli makanan?
Bagaimana respons kita terhadapnya? Berapa jumlah wang yang kita
berikan?
Bersedekah bukanlah memberikan
sekecil-kecil wang yang kita miliki, Memberi RM0.10 contohnya untuk
diberikan kepada peminta sedekah itu sambil dalam hati berkata “Tentu ada orang lain lagi yang akan memberikan wang kepada dia.“
Usah bersedekah dengan cara ini kerana
ia salah. Kerana niat kita bukanalah untuk bersedekah, sebaliknya
memberi sedikit wang kepada orang tersebut.Bersedekah dengan semampu
yang boleh. Fahamkah perkataan “semampu” itu.
Tidak mungkin kita hanya mampu menghulurkan hanya 10sen sahaja, kan? =)
Lakukanlah sedekah dengan ikhlas.
ikhlaskan dalam hati sehabis mungkin. Jangan pula ketika memberi sedekah
tetapi dalam hati kita berniat agar orang peminta sedekah itu segera
beredar. Atau berasa rugi dan merungut dalam hati ketika memberikan wang
itu.
Ketika menghulurkan sedekah, janganlah
disusuli dengan sesuatu perkataan yang menyakitkan hati si penerima
sedekah tersebut. Contohnya dengan mengatakan. “Gunakan duit ini untuk
perkara baik-baik, jangan pula pergi membazir.”
Walaupun niat kita baik, tetapi dalam
masa yang sama kita telah menyakiti hati si penerima tersebut. Maka
membuatkan sedekah kita tadi bukan lagi berupa sedekah.. rugi bukan?
Jangan mengharapkan balasan
Kita sering kali tersilap dalam memberi
sedekah dan berkata dalam hati, semoga sedekah yang dilakukan oleh aku
ini akan mendapat balasan setimpal. Sesungguhnya memberikan sesuatu
tanpa mengharapkan balasan adalah lebih mulia disisi Tuhan berbanding
mengharapkan balasan.
Allah menyatakan dalam firmanNya;
“Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara sembunyi dan terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih.” [Al-Bakarah: 274]
Memberikan sesuatu yang berguna
Pernah terlihat amalan masyarakat kita
yang memberikan barangan pakaian-pakaian buruk dan lama atau buku-buku
yang ingin dibuang? Seeloknya, bersedekahlah dengan wang atau barangan
yang masih baik dalam keadaan elok. Bukannya dari barangan yang ingin
dibuang. Kita hendak bersedekah, bukan menolak “sampah” kita kepada
mereka yang tidak bernasib baik.
Saya pernah terbaca catatan dari Rumah Pengasih (Saiful Nang)
yang menceritakan rumah kebajikan seliaannya pernah menerima sumbangan
seluar dalam yang koyak rabak dan dalam keadaan menjijikkan. Bagaimana
kita boleh mengharapkan rahmat Allah kepada kita sedangkan kita membuat
perbuatan seperti itu?
Buatlah si penerima berasa gembira.
Walaupun kita tidak mampu bersedekah lebih, sekurang-kurangnya buatlah
hati mereka merasa gembira. Insyaallah, jauh disudut hati mereka akan
mendoakan kita kembali agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat.
2. Menarik Rezeki dengan Berdoa
Selepas berusaha melakukan kerja, jangan
lupa untuk berdoa. Apa sahaja tindakan yang diiringi doa, akan
diperkenankan oleh Allah SWT. Berdoa dan meminta adalah sifat semula
jadi manusia. Hanya dengan doa, segala permintaan dapat didengari
oleh-Nya. Insyaallah, rezeki akan tiba kepada kita cepat atau lambat
sahaja.
Sebelum memulakan kerja, lakukan sedikit
doa memohon keberkatan dari pekerjaan yang kita jalankan dan tanamkan
niat berkerja mencari rezeki yang halal. Yang kita mahukan adalah
dilimpahkan rezeki yang halal dan berkat.
“Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha kaya, wahai Tuhan yang Maha Terpuji, wahai Tuhan yang Maha Pencipta, wahai Tuhan yang Maha Mengembalikan, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, kayakan aku dengan perkara-perkara yang dikau halalkan dan bukan daripada yang dikau haramkan, serta dengan kelebihan atau kurniaan-Mu bukan daripada mereka selain daripada -Mu.”
3. Mengamalkan Solat Sunat Dhuha
Solat ini sering diamalkan oleh ahli
perniagaan Muslim. Sehinggakan ada yang mengamalkan solat sunat ini
seperti sebahagian solat wajib.
Solat Dhuha ini satu-satunya solat yang
memberikan limpahan rezeki dari Allah SWT. Jika diamalkan selalu,
InsyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas. Solat dhuha sering dikatakan
magnet rezeki. Dengan melakukan solat ini, rezeki yang dipohon akan
segera menjengah kita.
Dari pengalaman saya sendiri, jika
diikutkan duit elaun saya (saya masih seorang pelajar) sememangnya tidak
cukup untuk menampung kos hidup dan pelajaran saya. Apatah lagi untuk
membuat simpanan wang.
Namun, setakat ini Allah masih
mencukupkan rezeki saya tanpa perlu meminta dari ibubapa saya atau orang
lain. Insyaallah, setiap bulan pasti ada orang yang menyewa ruang iklan diblog ini, membeli pakej pelancongan
dan mengambil pakej fotografi daripada saya. Walaupun tidak menjadikan
saya kaya, tetapi sekurang-kurangnya boleh menyara kehidupan saya
sendiri tanpa menyusahkan sesiapa. Amalannya adalah Solat Sunat Dhuha.
=)
***
Mungkin anda semua mempunyai banyak lagi tips yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Solat
sunat dhuha, membaca surah al-waqiah, sentiasa beristighfar,
perbanyakkan sedekah, menjauhi maksiat juga cara untuk menjemput
rezeki.